Sebanyak 99.25 peratus daripada hak milik harta tanah di Johor milik rakyat tempatan dan bukan warga asing, kata Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin.

Menulis di Facebook, beliau juga mendakwa terdapat pihak cuba menakut-nakutkan rakyat dengan membuat tanggapan bahawa Johor dimiliki warga asing.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa persepsi pemilikan harta tanah asing berada di tahap luar kawalan di Johor adalah tidak benar sama sekali.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah yang sistematik dan bersepadu demi mengawal jumlah pemilikan harta tanah asing di Johor,” kata Khaled.

Tanggapan umum di kalangan orang ramai sering membangkitkan soal pemilikan rakyat Singapura dalam harta tanah Johor.

Dalam tulisan itu, beliau turut memuat naik carta pemilikan tanah di Johor yang menunjukkan warganegara Malaysia memiliki 99.28 peratus (1,304,975 petak) bagi hak milik tanah bertapak dan 98.84 peratus (93,411 petak) strata.

Warga asing pula hanya memiliki 0.72 peratus (9,459 petak) tanah bertapak dan 1.16 peratus (1,088) strata.

“Jadi, adalah tidak benar bahawa soal pemilikan hartanah berada di luar kawalan dalam Negeri Johor,” tulisnya di Facebook.

Carta itu juga menyatakan peraturan bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki rumah kediaman, kedai yang dikategorikan sebagai kos rendah dan kos sederhana rendah.

Warga asing juga tidak dibenarkan untuk memiliki rumah kediaman jenis teres setingkat ataupun satu setengah tingkat sebaliknya bawah harga RM1 juta.