MP Miri cedera dipukul depan kliniknya
Anggota Parlimen Miri Dr Teo Yu Keng cedera akibat dipukul seorang lelaki tidak dikenali di hadapan kliniknya di Jalan Dagang di Miri hari ini, menurut polis.
Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8.05 pagi semasa Dr Teo sedang berjalan ke klinik apabila tiba-tiba suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh warna hitam meluru ke arah anggota Parlimen itu dan memukulnya.
"Suspek memukul mangsa menggunakan kayu pemukul besbol di bahu kiri dan kanan. Mangsa cuba melawan balik dan suspek melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Aaga aeroback," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berdasarkan gambaran diberikan mangsa, suspek berketinggian kira-kira lima kaki lima inci atau 163cm dan berbadan gemuk dan menurutnya siasatan polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek adalah palsu kerana nombor itu berdaftar untuk kereta Perodua Viva.
"Mangsa patah tulang selangka bahu kiri dan cedera di bahagian kanan, belakang badan, atas kepala dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Miri," katanya.
Gan berkata motif kejadian sedang disiasat.
- Bernama

