Buku berjudul Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders yang akan dilancarkan Isnin ini mendedahkan perhubungan diplomatik Tun Dr Mahathir sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Satu daripada surat yang menarik - bertarikh 3 Oktober 1998 - ialah reaksi Dr Mahathir kepada bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher berhubung lebam pada mata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau ditahan polis.

Dalam bahagian dua buku itu beliau menulis: "Walaupun jika mereka (polis) adalah bodoh, polis tahu bukti keganasan sebegitu tidak membawa sebarang faedah kepada mereka. Kerajaan Malaysia menentang keganasan polis dalam negara atau di mana-mana tetapi kita mesti mencari siapa yang bersalah.   

      

"Kita tidakl boleh menyalahkan polis secara keseluruhan atas sesuatu yang mungkin dilakukan salah seorang anggotanya. Saya mengarahkan siasatan rasmi dan pihak yang berkenaan akan dihukum apabila dikenal pasti."

Di permulaan surat, Dr Mahathir menyatakan: "Saya menghargai keprihatinan anda terhadap dakwaan keganasan polis ke atas Anwar Ibrahim. Saya juga prihatin. Pada ketika ini kami tidak pasti bagaimana dia mendapat lebam pada mata ketika berada dalam tahanan polis."

[Baca berita asal]