PSM cadang usul tergempar Rohingya
Parti Sosialis Malaysia (PSM) bercadang mengemukakan usul tergempar mengenai etnik Rohingya supaya dibincangkan di parlimen apabila sidang bermula Isnin ini.
Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan berkata, surat mengenai usul itu sudah dihantar kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia melalui wakil tunggal parti itu di parlimen, Dr Jeyakumar Devaraj.
Kata Arutchelvan, PSM berpendapat negara tidak boleh memejamkan mata terhadap nasib dialami ribuan pelarian Rohingya yang kebuluran di perairan Malaysia.
Melalui surat itu, katanya, PSM berpendapat krisis yang dialami etnik Rohingya adalah isu kepentingan ramai dan perlu dibincangkan.
"Pendekatan Malaysia terhadap pendatang dari Myanmar harus didasarkan pada prinsip-prinsip kemanusiaan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan.
"Polisi menghalang mereka mendarat di Malaysia adalah pendekatan tidak bertanggungjawab dan akan memburukkan imej negara kita di arena antarabangsa," katanya dalam kenyataan dikeluar parti itu hari ini.
Arutchelvan berkata, PSM berharap semua wakil rakyat dari BN dan Pakatan Rakyat dapat menyokong usul berkenaan kerana ia membabitkan hak seseorang untuk hidup.
PSM juga menggesa Malaysia mengusahakan perbincangan semasa anggota ASEAN bagi membolehkan beban tanggungjawab membantu pelarian itu dikongsi bersama.
Dianggarkan ada kira-kira 6,000 hingga 8,000 pelarian Rohingya sedang berada di lautan ketika ini.

