TPM: Myanmar tak harus beban kita atasi isu Rohingya
Kerajaan Myanmar seharusnya berurusan dengan komuniti etnik Rohingya secara dalaman berbanding memaksa usaha penyelesaian kepada negara jiran dalam Asean, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Apakah mereka tidak ada sifat berperikemanusiaan untuk menyelesaikan masalah ini secara dalaman sehingga beban ini terpaksa ditanggung oleh negara-negara Asean?" soal Muhyiddin.
Bercakap kepada pemberita di Glenmarie, Selangor, beliau yang juga menteri pelajaran berkata isu tersebut begitu rumit untuk diselesaikan.
"Kalau kita beri isyarat yang tidak betul (bahawa) mereka akan dilayan akan diberi apa yang sepatutnya, ini juga akan beri isyarat yang tidak baik kepada Malaysia kerana selepas itu, ratusan ribu akan berhijrah macam mana yang berlaku zaman (perang) Vietnam dahulu," katanya.
Thailand, Malaysia dan Indonesia telah menjadi tumpuan pelarian Rohingya untuk mengelak kekerasan dan penganiayaan di negara mereka.
Sementara aktivis migran pula mengangggarkan sebanyak 6,000 hinggw 8,000 orang terkandas di lautan.
Pihak imigresen telah menahan lebih 500 daripada mereka bersama pelarian Bangladeshi di Langkawi.
Masyarakat sivil dan pembangkang juga memberi kritikan terhadap sikap acuh tidak acuh kerajaan untuk krisis pelarian segera di sempadan Malaysia. [Baca berita asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata kerajaan memandang serius isu pendatang asing Rohingya di Malaysia dan berikutan itu Kabinet telah memutuskan supaya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan perbincangan dengan negara-negara berkaitan termasuk Myanmar, Indonesia dan Thailand bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
"Ini isu yang besar bagi kita sebab babitkan soal keselamatan negara dan kemanusiaan ... Kabinet telah bincang isu ini secara serius dan kita telah memutuskan supaya Menteri Luar Malaysia, Indonesia dan Thailand berhubung dengan Myanmar bincang soal ini.
"Kita mahu kedatangan mereka (Rohingya) ini dapat dikawal kerana ia menjadi beban besar kepada negara sebab dimaklumkan ribuan yang datang ke sini (Malaysia). Ini sepatutnya tanggungjawab UNCHR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) tetapi nampaknya (tanggungjawab) tidak begitu berkesan," katanya.
Muhyiddin berkata sekiranya perkara itu tidak dapat ditangani, kerajaan khuatir akan berlaku kebanjiran pendatang asing Rohingya sekaligus memberi kesan yang tidak baik kepada negara.
"Kita tidak mahu memberi isyarat yang tidak betul kepada kumpulan ini, sekiranya mereka diberi layanan dan diberikan apa yang sepatutnya, kita bimbang akan ada ratusan ribu yang akan datang berhijrah ke sini (Malaysia)," katanya.
Baru-baru ini dilaporkan sebanyak 1,158 pendatang asing Bangladesh dan Rohingya termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat dengan bot di Langkawi.

