Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bimbang insiden rusuhan penyokong Terengganu termasuk tindakan membakar harta benda awam di stadium berleluasa jika tiada tindakan tegas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak negeri.

"Saya risau kalau tidak ada tindakan yang tegas daripada FAM dan persatuan bola sepak negeri, perangai ini akan berleluasa.

"Para penyokong bila dia tak puas hati dengan keputusan pengadil, dia akan cari van untuk bakar.

"Saya harap FAM jangan hanya bercakap saja, jangan hanya retorik saja, kami mahu lihat tindakan lebih tegas dari FAM," katanya.

Beliau berkata demikian sidang media selepas merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementeriannya dan Berjaya Corporation Berhad di Putrajaya

Pada Sabtu lalu, satu rusuhan berlaku selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di stadium itu di Kuala Terengganu.

Ia berlaku gara-gara gol keempat tuan rumah dinafikan oleh pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob dalam perlawanan itu kerana dikatakan pemain Terengganu berada dalam kedudukan ofsaid.

Ekoran itu, sebahagian besar penyokong Terengganu bertindak liar melakukan kerosakan ke atas harta benda awam di stadium dengan memecahkan pintu kaca di laluan masuk selain dilaporkan turut membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan stadium.

Tangani persepsi negatif

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan berkata pihaknya akan merujuk kes rusuhan kelmarin kepada Jawatankuasa Tatatertibnya dan akan meneliti segala aspek berhubung kes rusuhan itu sebelum membuat tindakan lanjut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa FAM akan menyiasat bantahan pemain Terengganu berhubung gol pemain pertahanannya, Ahmad Nordin Alias pada penghujung babak perlawanan yang dibatalkan pengadil itu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau mahu FAM menangani persepsi negatif penyokong terhadap mutu pengadil bola sepak tempatan termasuk memberi penjelasan mengapa insiden Sabtu lalu terjadi.

Menurut ketua Pemuda Umno lagi, kejadian seumpama itu bukan kali pertama tercetus akibat daripada penyokong ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

"(FAM) perlu tingkatkan dari segi keselamatan, mutu pengadilan, ada an dialog dengan pasukan dalam Liga Malaysia.

"Maklumkan kepada mereka (pasukan bola sepak) apakah tindakan yang diambil terhadap pengadil (yang) didapati buat keputusan yang tidak betul, moga pasukan itu yakin ada tindakan dari FAM," katanya.

Beliau turut berharap pasukan Terengganu tidak mengambil keputusan yang terburu-buru untuk keluar dari Liga Malaysia sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini.

Khairy berkata keputusan pengadil di atas padang adalah muktamad bagaimanapun, penyokong tidak boleh mengambil langkah merusuh sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.