Chua tempelak Nga, jet k'jaan bukan jet peribadi
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong hari ini menempelak ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming kerana menganggap pesawat tambahan terbaru kerajaan sebagai 'jet peribadi'.
Ia bukan jet peribadi tetapi jet kerajaan, katanya sambil meminta Nga membetulkan faktanya sebelum bertanya.
Chua memberitahu Nga demikian di Parlimen hari ini, lapor portal Kelab Penyokong Barisan Nasional itu (BNBBC).
Bernama semalam memetik Jabatan Perdana Menteri sebagai berkata pesawat baru itu melakukan penerbangan rasmi pertama membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Alor Setar ke Langkawi
Jabatan itu mengulangi bahawa pesawat khas kerajaan diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun menurut JPM, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan, Yang Dipertua Negeri, menteri dan timbalan menteri, tetamu kerajaan persekutuan dari negara asing, pegawai kanan kerajaan serta orang kenamaan.
Pengurangan defisit fiskal
Chua juga menempelak Nga kerana didakwanya tidak adil kerana hanya menggunakan penarafan kredit Fitch sebagai contoh untuk menyera
“Kenapa Yang Berhormat mesti gunakan Fitch tetapi tidak mengatakan Moody’s dan Standard and Poor’s.
"Moody’s telah mengatakan bahawa dari segi kredit rating, kita adalah positif dan Standard and Poor’s ada mengatakan stabil, maka kita tidak harus melihat satu sahaja," katanya.
Chua berkata kerajaan komited untuk menguruskan kewangan, seperti yang terbukti melalui pengurangan defisit fiskal dari 6.7 peratus pada permulaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 2009 kepada 3.5 peratus tahun lepas dan dijangka kepada 3.2 peratus hujung tahun ini.

