Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalin kerjasama dengan konglomerat Berjaya Corporation Bhd untuk program transformasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bagi meningkatkan kebolehpasaran lepasan institut itu.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata menerusi kerjasama itu, Berjaya bersetuju menerima 500 pelajar IKBN untuk latihan industri selama tempoh perjanjian dalam pelbagai bidang terutama hospitaliti dan perhotelan dengan bayaran elaun minimum RM500 sebulan atau mengikut kadar pasaran.

Berjaya juga akan memberikan peluang pekerjaan kepada 500 lepasan IKBN setahun selepas mereka tamat latihan industri mengikut kelayakan ditetapkan.

Bercakap kepada pemberita dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Berjaya itu di Putrajaya hari ini, Khairy berkata Berjaya juga bersetuju menempatkan sekurang-kurangnya lima tenaga pengajar IKBN setiap tahun dalam

pelbagai anak syarikatnya sepanjang tempoh perjanjian.

Konglomerat itu juga bersetuju memberi peluang kepada pelajar IKBN untuk mengikuti kursus jangka pendek dengan kadar yuran istimewa di Berjaya University College of Hospitality.

"Terdapat tiga lagi MoU yang akan ditandangani selepas ini...kita juga ingin melihat lebih banyak kerjasama dengan pihak industri dalam sektor kejuruteraan," katanya.

KBS sebelum ini telah menandatangani MoU dengan Petronas, Samsung, TUNE Hotel, AEON, Tan Ching Motor dan ITE Singapore.

- Bernama