Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelarian Myanmar paling ramai di Malaysia
Diterbitkan:  May 19, 2015 6:45 AM
Dikemaskini: May 19, 2015 2:23 AM

Warga Myanmar merupakan jumlah pelarian dan pencari suaka politik teramai di Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan setakat akhir Februari tahun ini, kira-kira 141,570 daripada keseluruhan 152,570 pelarian dan pencari suaka politik merupakan warga Myanmar.

Mereka termasuk kira-kira 49,800 etnik Chin, 45,170 Rohingya, 12,340 Muslim, 7,320 Rakhine dan Arakan serta lain-lain etnik.

Yang selebihnya seramai 11,000 terdiri daripada pelarian dan pencari suaka politik daripada Sri Lanka (3,970), Pakistan (1,200), 1,100 Somalia (1,100), Syria (960), Iraq (850), Iran (550), Palestin (430) dan lain-lain.

Ribuan pendatang asing dipercayai daripada Bangladesh dan Myanmar tersadai di dalam bot penyeludup antara Laut Andaman Sea dan Selat Melaka.

Daripada jumlah itu, 1,158 mendarat di Langkawi, Kedah pada 10 Mei lalu yang kemudian ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan UNHCR untuk mengenal pasti mereka yang ditakrif sebagai pelarian.

ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid membuat saranan kepada kerajaan persekutuan untuk mengkaji penempatan pos kawalan keselamatan agensi penguat kuasa di Pulau Langkawi.

Saranan itu menurutnya adalah perlu memandangkan jarak antara Ayer Hangat dan Thailand hanya 10 minit perjalanan dengan bot sementara pos kawalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terletak di Kuah, kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot dari Ayer Hangat.

"Ini tidak sesuai kerana penyeludup dari Thailand hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke Ayer Hangat sementara bot pemantau dari Kuah memerlukan 40 minit untuk sampai ke sana," katanya.

Namun Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata mesyuarat antara Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan akan diadakan hujung minggu ini.

"Kita akan mengkaji perkara ini. Mungkin di masa depan, kita akan wujudkan pos keselamatan sementara terlebih dahulu kerana penyelesaiannya tidak boleh dibuat secara terus.

"Ia melibatkan soal bajet dan langkah itu perlu dipersetujui Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata buat masa ini pada prinsipnya semua pos keselamatan terutama berhampiran Thailand akan diperkukuh.

Isu 'orang bot' menjadi perhatian antarabangsa sejak minggu lepas yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkata Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyeludupan manusia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata kerajaan Myanmar perlu mengambil tanggungjawab untuk menyelesai isu etnik Rohingya, agar negara ASEAN yang lain tidak dibebani dengan masalah pendatang tanpa izin Rohingya di negara mereka.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia selaku pengerusi ASEAN akan membincangkan isu pelarian Rohingya secara mendalam dengan Myanmar.

Malaysia akan juga menggunakan saluran diplomatik dengan Thailand dan Indonesia untuk bekerjasama dan menentukan langkah menyeluruh untuk menyelesaikan krisis tersebut, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS