Kontraktor lewat KLIA2 akan didenda
Tindakan berupa denda lambat siap atau Liquidated Ascertained Damages (LAD) akan diambil terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek KLI2, kata menteri pengangkutan.
“Dalam hal-hal ini, pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) dalam proses perundingan bersama kontraktor utama JV UEM-Binapuri tentang pembayaran jumlah tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, kata menteri pengangkutan, projek KLIA2 tidak pernah mengalami lebihan kos.
Sebaliknya, jelasnya, kos projek KLIA2 meningkat kerana penambahan skop akibat konsep rekaan ataupun keperluan terperinci pihak berkepentingan seperti syarikat penerbangan dan kerajaan.
“Mana-mana kontraktor atau jururunding yang tidak mencapai tahap prestasi yang dikehendaki maka kontrak tersebut akan diberhentikan mengikut terma dan syarat kontrak tersebut,” katanya.
Menteri pengangkutan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mohd Ariff Sabir Abdul Aziz (Raub) yang mahu tahu tindakan terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek RM2 bilion itu.
Beliau juga mahu tahu tindakan terhadap pegawai dan jururunding yang menyumbang kepada lebihan kos.

