Hadapi Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan seorang pahlawan - begitu nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur, Lim berkata, perdana menteri wajar menyahut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat dan bukannya menjawab tuduhan yang dilempar melalui blog.

"Adakan debat bukannya menulis dalam blog dengan menyediakan FAQ (jawapan kepada soalan lazim) serta suasana seperti dalam makmal. Kemudian biarkan rakyat memutuskan," katanya.

Lim menasihati Najib supaya bersemuka dengan Dr Mahathir "sebagai anak jantan."

Mengenai saranan Dr Mahathir supaya Lim meletak jawatannya, Ahli Parlimen Bagan itu berkata dia tidak bercadang untuk bergaduh dengan bekas perdana menteri berkenaan.

"Saya tak mahu dibabitkan dalam pergaduhan antara Najib dan Dr Mahathir. Biarkan mereka bergaduh dan kita boleh lihat siapa mampu mengemukakan hujah lebih baik.

"Walaupun saya tak setuju dengan serangan Dr Mahathir ke atas saya, namun saya rasa Najib perlu menjawab cabaran debat itu," katanya.

Semalam Dr Mahathir berkata Lim wajar meletak jawatan kerana perubahan kerajaan di Pulau Pinang menyebabkan situasi tidak menyenangkan.