Tindakan seorang lelaki mengalunkan bacaan ayat al-Quran mengikut langgam Jawa di majlis Isra dan Mikraj di Jakarta pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi, lapor media Indonesia semalam.

Menurut Tempo , acara itu dihadiri Presiden Joko Widodo (Jokowi), Menteri Agama Lukman Hakim, dan beberapa duta negara Arab.

Ekoran alunan yang luar biasa oleh qari Muhammad Yasser Arafat itu, seorang pakar pengajian al-Quran dari Dewan Dakwah Islamiah Indonesia, Ahmad Annuri, menganggap kerajaan Indonesia kini melaksanakan liberalisasi dalam Islam.

Kata Ahmad, pembacaan al-Quran seperti di Istana Negara itu tidak boleh berlaku lagi dan mesti dihentikan.

Alasan Ahmad, ia adalah amalan yang dipaksakan untuk meniru langgap tidak lazim dalam pembacaan al-Quran.

"Lebih berbahaya jika pelakunya mempunyai niat yang salah," katanya.

Menjelaskan kenyataan itu, Ahmad berkata, mungkin qari terbabit berasa perlu menonjolkan imej lagu Nusantara atau keindonesiaan ketika membaca al-Quran.

Indonesia Raya ala Jawa

Katanya, membina perasaan cintakan negara melalui alunan ayat al-Quran dengan langgam tempatan adalah sikap yang salah.

"Cara membaca al-Quran seperti itu merosakkan kelaziman.

"Bagaimana jika lagu Indonesia Raya dinyanyikan dengan langgam Jawa atau suku lain? Adakah ia diterima?" katanya.

Ahmad juga memberi contoh lain - seorang imam solat membaca surah al-Fatihah dengan langgam Jawa.

"Amalan membaca al-Quran dengan langgam etnik tempatan lebih banyak memudaratkan berbanding membawa manfaat," katanya.

Sementara itu Lukman berkata, bacaan dengan langgam Jawa itu adalah lahir daripada ideanya sendiri, bukan Jokowi.

"Ia untuk memelihara tradisi Nusantara ketika memperluaskan ajaran Islam di negara ini," katanya.