Bagi membolehkan Malaysia membina loji kuasa nuklear pertamanya menjelang tahun 2025, satu rangka kerja perundangan mengenai program itu perlu dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) Dr Mohd Zamzam Jaafar berkata rangka kerja itu penting kerana ia akan membantu Malaysia dalam menandatangani perjanjian dengan negara lain berhubung urusan menilai pembelian teknologi nuklear.

Walaupun Malaysia sudah mempunyai Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) 1984, ia perlu dikemaskinikan agar "mempunyai infrastruktur kawal selia kebangsaan yang jelas untuk membangunkan industri nuklear di negara ini," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Oleh itu, kata beliau, Malaysia perlu meluluskan satu undang-undang mengenai subjek berkenaan, kemudian perlu disusuli dengan perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang terlibat.

"Selepas itu, barulah perlu mengadakan perbincangan dengan orang ramai (tentang perkara itu), dan kemudian barulah kita boleh mencari tapak untuk membina loji itu," kata Mohd Zamzam.

Menurut beliau, pembinaan loji itu mengambil masa 11 hingga 12 tahun dan perlu melalui beberapa prosedur di bawah Projek Permulaan Program Transformasi Ekonomi sebelum ia boleh dilaksanakan.

MNPC sudah mengenal pasti "empat item laluan kritikal mengenai pembangunan kuasa nuklear, termasuk kerajaan perlu memastikan wujudnya rangka kerja kawal selia yang betul dan projek itu perlulah diterima rakyat."

Dalam usaha mewujudkan kesedaran orang ramai tentang perkara itu, MNPC menganjurkan siri pertama forum awam bertajuk 'Penglibatan Malaysia Dalam Tenaga Nuklear' Sabtu ini di Art Printing Works (APW), No: 29, Jalan Riong, Bangsar, bersebelah pejabat New Straits Times pada pukul 10 pagi.

Ini akan disusuli beberapa forum di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah, Kuching, Johor Bahru dan Kuantan pada tahun ini.

Malaysia, satu daripada 162 negara anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, menyuarakan hasratnya untuk membina dua loji kuasa nuklear bagi memenuhi pemintaan tenaga yang terus meningkat - satu menjelang 2021 dan satu lagi setahun kemudian.

Kerosakan loji kuasa Fukushima pada 2011, yang menghasilkan sejumlah besar radiasi, menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang risiko kewujudan loji tenaga nuklear.

- Bernama