Muzik, puisi di malam 100 hari Anwar di penjara
Para pemimpin dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar pintu Penjara Sungai Buloh untuk menunjukkan solidariti dengan ketua umum PKR itu, di malam 100 hari belliau di penjara.
Mereka yang berjumlah hampir 300 orang itu menyanyi, menari, dan diselang-seli dengan laungan "Reformasi!" - yang menjadi motto Anwar.
Muzik dan puisi berkumandang di tengah-tengah cahaya nyalaan lilin ketika kumpulan band bangsART memainkan medley lagu protes jalanan.
Mereka yang hadir, dari pelbagai perigkat umur dan kaum, menggoyangkan kepada dan kaki seiring dengan irama yang dimainkan.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut menyampaikan sajak yang baru ditulis khas untuk bekas timbalan perdana menteri itu, bertajuk 'Malam Anwar'.
"Saya kenal Anwar sewaktu beliau masih mahasiswa, saya ikuti perkembangannya... saya rakamkan apa yang boleh dirakamkan dalam sekurang-kurangya dalam dua puisi saya.
"Saya dengar banyak cerita Anwar badannya kurus..tapi mungkin badannya sahaja kurus tapi semangatnya gemuk," kata beliau
Nurul Izzah menyampaikan salam Anwar kepada hadirin dan menyatakan bapanya mengucapkan terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang membenarkan Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk meneruskan perjuangan reformasinya.
Kerusi Permatang Pauh telah diisytiharkan kosong apabila permohonan pengampunan Anwar ditolak, dan isterinya, Wan Azizah, memenangi pilihan raya kecil di situ dan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen baru Isnin lalu.
"Kami tidak akan menyerah kalah. Ini perjuangan kami," kata Nurul Izzah, merumuskan tema ucapan pemimpin sepanjang malam tadi.
Ibunya, yang baru dilantik sebagai ketua pembangkang tidak hadir malam ini tetapi keluarga Anwar turut diwakili oleh Nurul Nuha dan Nurul Ilham yang menjadi tumpuan semasa berucap.
Walaupun bercakap kepada penyokongnya, Nurul Nuha seolah sedang berbicara kepada "papanya", berjanji beliau tidak akan menangis dalam mendepani cabaran ini.
"Jangan letih, kami tidak menangis. Jangan gusar, kami akan tabah. Jangan bimbang, kami akan terus lawan, papa," katanya di saat ratusan hadirin tiba-tiba sunyi.
Beberapa pemimpin Pakatan yang kelihatan turut hadir ialah MP Segambut Lim Lip Eng dan MP Ipoh Timur Thomas Su, kedua-duanya dari DAP dan MP PSM Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar.

