Thai tak akan usir pelarian Bangladesh, Rohingya
Thailand tidak akan mengusir pulang pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di perairan wilayahnya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand, berkata negara itu memberi penekanan tentang pentingnya bantuan kemanusiaan.
Mengenai mesyuarat dengan Malaysia dan Indonesia semalam berhubung isu itu, ia berkata mesyuarat menggesa bagi penyelesaian komprehensif dan usaha bersepadu untuk menangani peningkatan kebanjiran migran tidak teratur ke rantau ini yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ia berkata pada mesyuarat di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Luar, Jeneral Tanasak Patimapragorn, menekankan bahawa situasi memerlukan respons segera bagi melindungi migran di laut, berdasarkan konsep sama-sama memikul beban antarabangsa, dan selaras dengan undang-undang domestik masing-masing.
Kenyataan itu berkata Menteri Luar Thailand, Malaysia dan Indonesia juga menekankan tentang perlunya mencari penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang pada mesyuarat itu.
Negara asal, transit, dan destinasi serta masyarakat antarabangsa mesti berusaha secara kolektif untuk mengatasi masalah ini yang tidak harus dibiarkan
untuk dipikul seorang diri oleh mana-mana negara.
Mesyuarat bersetuju sepenuhnya dengan Thailand bahawa negara-negara berkaitan mesti melahirkan komitmen tegas untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi memerangi sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia dan menghalang kebanjiran migran tidak teratur.
Ini boleh dilakukan, antara lain dengan mewujudkan dan memperkukuhkan rangkaian penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan komunikasi dengan penduduk di daratan dan memupuk pembangunan di negara asal, kata kenyataan itu.
Mereka menggesa bukan sahaja negara-negara terlibat di rantau itu tetapi juga masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab lebih besar bagi menangani isu ini.
Ia berkata mesyuarat pada 29 Mei ini akan menyediakan forum bagi pihak-pihak berkenaan untuk berbincang dengan konstruktif dan menunjukkan komitmen tegas untuk mengukuhkan kerjasama bagi mencegah dan menyelesaikan masalah kedatangan migran tidak teratur ke rantau ini secara konkrit dan mampan.
- Bernama

