Beruang aneh S'wak mati akibat kanser
Seekor beruang Sarawak yang mencetus fenomena disebabkan rupanya yang aneh didapati mati akibat kanser selepas jatuh sakit selama lebih seminggu.
Laporan Borneo Post menyebut, beruang yang tidak berbulu itu didapati semakin baik selepas ditangkap di Bintangor pada awal bulan lalu.
Haiwan itu mati lewat malam Isnin lalu di Pusat Hidupan Liar Matang, lapor akhbar tersebut yang memetik kenyataan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
Penyakit kanser itu dikenalpasti selepas satu bedah siasat dilakukan ke atas haiwan berkenaan, kata SFC.
“Haiwan tersebut tidak dapat makan dengan sempurna dan muntah-muntah,” kata SFC.
Pasukan kesihatan kemudiannya rawatan kecemasan, namun haiwan Helarctos malayanus itu tidak dapat diselamatkan akibat serangan kanser di organ dalamannya.
Pemeriksaan juga mendapati beruang itu adalah haiwan yang sudah tua dan bukannya beruang dewasa.
“Selain kanser, beruang itu mungkin sudah mencapai penghujung hayatnya,” kata SFC seperti dipetik dalam laporan itu.
Penemuan haiwan terancam tersebut pada 2 April lalu adalah hasil operasi mencari yang menyelamat selepas satu video yang muncul awal tahun ini.
Rakaman video yang berlegar di laman sosial itu menunjukkan haiwan berkenaan merayap dengan lemah di celah-celah timbunan pelepah sawit.
Haiwan itu kemudiannya ditunjukkan melarikan diri ke kawasan paya.
Video terbaru pula menunjukkan beruang itu ditangkap dan diletakkan di dalam satu sangkar.
Rakaman itu menunjukkan haiwan terancam tersebut masih mampu meronta dan berusaha untuk melepaskan diri.
Beruang merupakan antara haiwan yang kini dalam kategori terancam di Malaysia, khususnya akibat pembukaan tanah berleluasa untuk kegiatan pertanian.

