'FAQ tak cukup, debat atau jelas di Parlimen'
PAS menyifatkan penjelasan Datuk Seri Najib Razak berkaitan 13 isu panas dalam negara sekadar “syok sendiri” dan beliau patut sedia berbahas perkara itu di parlimen atau pentas debat.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun panjang jawapan di blog perdana menteri, pada hakikatnya rakyat tetap tidak berpuas hati kerana isu sebenar didakwa tidak dijawab.
“Sewajarnya PM Najib menggunakan ruang kesempatan sidang Parlimen yang sedang berlangsung ini sebagai medan untuk sesi perdebatan dan soal-jawab secara rasmi dan telus.
“Di Parlimen, para wakil rakyat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh mendapatkan penjelasan secara terus daripada PM sendiri,” katanya.
Ahad lalu selepas kritikan sengit Mahathir, bekas perdana menteri, dan ekoran cadangan debat umum, Najib akhirnya menjawab melalui satu siri soalan lazim (FAQ) di blognya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tetap tidak berpuas hati dengan menegaskan soalan lazim itu, yang menyentuh kes seperti pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan skandal 1MDB, "tidak menjawab apa-apa”.
Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz juga berkata Najib juga patut menyahut kesediaan debat oleh pengkritik utamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Adakah Presiden parti keramat Melayu Umno ini sudah hilang keberanian dan kegagahan untuk berdepan secara terbuka? ” sindirnya.

