Menteri Besar Selangor Azmin Ali mengarahkan pegawai kewangan dan setiausaha kerajaan negeri segera memberi maklumbalas kepada permohonan ADUN DAP Lau Weng San yang meminta senarai pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan gaji mereka.

Pada Isnin, Lau memberitahu pemberita, pertanyaannya sewaktu sidang DUN dan melalui surat kepada MB, tidak mendapat maklumbalas kerana beliau dimaklumkan maklumat tersebut dilindungi bawah Akta Perlindungan Data 2012.

Susulan itu, wakil rakyat Kampung Tunku berkata beliau menerima panggilan daripada Azmin dan Setiausaha Politiknya Shuhaimie Shafie pada Isnin dan Selasa yang melayani pemintaannya itu.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada MB kerana mengambil berat pada isu yang dibangkitkan. Ketelusan dan keterbukaan adalah ciri kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Lau memohon senarai individu yang memegang jawatan dalam pengurusan atasan GLC dan jawatan lembaga pengarah, jumlah gaji, bonus dan elauan yang mereka terima.  

[Baca berita asal]