Shahidan: Tak perlu umum undi Parlimen
Sewaktu umum menuntut ketelusan bagaimana anggota parlimen mengundi berhubung satu-satu rang undang-undang kontroversi dan usul yang dibentangkan di Parlimen, kerajaan bagaimanapun merasakan prosedur yang sedia ada sudah memadai.
"Keputusan pengundian belah bahagian ini kemudiannya dicatatkan dalam undi-undi dan perjalanan mesyuarat secara terperinci dengan menyatakan jumlah undi belah bahagian yang bersetuju dan tidak bersetuju," kata Datuk Seri Shahidan Kassim.
Dalam jawapan bertulisnya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata keputusan pengundi belah bahagian cukup sekadar diedarkan kepada anggota parlimen.
"Setakat ini tiada keperluan untuk memaparkan undian tersebut di dalam portal Parlimen Malaysia," kata Shahidan lagi.
Beliau mengulas soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya jika kerajaan akan memuat naik keputusan pengundian terperinci berkaitan rang undang-undang dan usul ke dalam laman web Parlimen.
"(Ini) bagi memastikan akauntabiliti para ahli parlimen kepada pengundi dan rakyat juga berhak mengetahui bagaimana wakil rakyat mereka mengundi," kata Lim.

