Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menyokong gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat dan polis menyiasat syarikat tersebut.

Syed Ali (gambar) dalam satu catatan blog juga melahirkan rasa amat sedih bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak mendengar nasihat Muhyiddin.

"Saya menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin kerana saya juga percaya ini adalah satu-satunya tindakan yang akan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan serius," katanya.

Katanya, tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa seseorang, sama ada pemimpin pembangkang atau orang awam, yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan kemarahan mereka terhadap perdana menteri.

Kenyataan Syed Ali dibuat selepas video yang bocor muncul menunjukkan Muhyiddin dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi Umno minggu lalu berkata bahawa pihak berkuasa tidak perlu menunggu lebih lama dan tindakan perlu diambil terhadap 1MDB.

Video selama tujuh minit itu telah dimuat naik oleh bekas editor New Straits Times, Firdaus Abdullah semalam ke YouTube dan telah disahkan oleh Muhyiddin yang berkata ucapannya di majlis itu adalah pandangan peribadinya.

Syed Ali berkata beliau berkongsi pendapat yang sama seperti Muhyiddin dan mengulangi supaya perdana menteri memecat segera lembaga pengarah 1MDB dan siasatan polis dimulakan.

Selain ahli lembaga, Syed Ali berkata. ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, juga perlu disiasat segera oleh pihak polis.

[Baca berita penuh/asal]