Surat kepada CJM berhubung hakim kes Najib vs Mkini
Peguam yang mewakili Malaysiakini telah menulis kepada pegawai khas Hakim Besar Malaya (CJM) mendesak supaya memikirkan semula keputusan untuk membenarkan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Mohd Said untuk terus mendengar saman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak terhadap portal berita itu.
Sebelum ini, firma guaman Kandiah Partnership yang mewakili Malaysiakini telah menulis kepada pegawai khas itu, Shazali Hidayat Shariff, menegaskan bahawa hanya dua kali Hakim Kamaludin bersama pihak terbabit untuk pengurusan kes.
"Untuk maklumat anda, Hakim Kamaludin hanya mengendalikan pengurusan kes itu dua kali sahaja, iaitu pada 3 September tahun lepas dan sekali lagi pada 11 November 2014.
"Pada masa lain, pengurusan kes itu dilakukan di hadapan timbalan pendaftar dan bukannya di hadapan hakim itu," demikian dinyatakan dalam surat firma guaman yang mewakili Malaysiakini itu.
Ekoran sebab-sebab yang bercanggah yang diberikan itu, Kandiah Partnership berkata pelanggannya merasa tidak selesa dengan perkembangan terbaru itu yang menugaskan Hakim Kamaludin untuk mendengar kes tersebut.
"Ini adalah bertentangan dengan amalan biasa dan atas sebab ini kami menulis supaya mahkamah menimbang melantik hakim lain untuk mendengar kes itu bagi memastikan integriti sistem kehakiman," kata surat kepada Shazali itu.
Nota editor: Atas nasihat peguam kami, Malaysiakini tidak mengaktifkan ruangan komen untuk laporan ini. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan.

