Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak akan memaafkan seorang pemimpin Umno bahagian yang menyebarkan video rakaman ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan memecat lembaga pengarah 1MDB.

Menteri Dalam Negeri itu berkata berkata individu terbabit yang menjawat timbalan ketua Umno di satu bahagian, akan diheret ke Jawatankuasa Pengurusan - yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri - untuk tindakan selanjutnya.

"Saya dah hubungi beliau, beliau minta maaf. Saya jawab, tiada maaf bagimu. Kerosakkan telah berlaku, dan dia kena bertanggungjawab terhadap tindakannya itu," katanya.

Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Hari Keluar Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Kajang hari ini.

Pada Khamis lalu, sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke-11, video Muhyiddin itu muncul di internet menunjukkan Muhyiddin mahu semua lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat.

Rakaman itu diambil ketika timbalan perdana menteri itu menghadiri satu program tertutup Umno di Janda Baik.

Muhyiddin kemudian menjelaskan, perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru dan ia dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir daripada cetusan ilhamnya.

Ditanya sama ada timbalan ketua Umno tersebut daripada bahagian Segambut, Zahid hanya tersenyum dan meminta supaya pemberita tidak menulisnya.

"Jangan tulislah. Tulis apa saya cakap sahaja," katanya bagi mengulas portal SuaraTV yang melaporkan bahawa video itu dirakam dan disebarkan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Azri Mohd Zain.

Ahli parlimen Bagan Datoh itu menjelaskan pemimpin Umno bahagian berkenaan turut memberitahunya tujuan video berkenaan diambil tetapi beliau tidak menerima alasan berkenaan.

"Dia menyebarkan perkara itu kononnya untuk dikalangan ahli jawatankuasa bahagian dan (aplikasi mesej) kumpulan Telegram untuk timbalan ketua bahagian (Umno) di seluruh Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS