Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

PM tak bohong, kementerian pinda jawapan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa ia meminda jawapan bertulis di Parlimen mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk "mengelakkan kekeliruan".

Penjelasan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa  Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak "berbohong" berhubung perkara itu.

Ia menjelaskan bahawa bahawa jawapan bertulis Parlimen yang dibuat oleh perdana menteri mengenai kedudukan kewangan 1MDB di bank BSI Singapura telah ditulis dan disemak oleh pegawai kementerian berdasarkan maklumat dari IMDB.
 
"Kementerian Kewangan telah meminda jawapan asal yang telah dibuat pada 10 Mac 2015 agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan kewangan 1MDB di BSI Singapura dan selaras dengan tuntutan urusan Parlimen. 
 
"Tindakan Kementerian Kewangan meminda jawapan asal adalah bukti ia tidak berniat sama sekali hendak berbohong mengenai perkara tersebut.
 
"Lantas, dakwaan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Najib yang juga menteri kewangan telah berbohong adalah tidak wajar," dalam satu kenyataan lewat semalam.

Tambahnya, ini kerana lazimnya jawapan bertulis di Parlimen dibuat atas nama beliau berdasarkan maklumat yang diberikan oleh agensi berkenaan yang kemudiannya disemak dan diedarkan oleh para pegawai.

"Kementerian Kewangan telahpun mengambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berulang," kata kenyataan itu lagi.

Jawapan bertulis pada 10 Mac menyebut AS$1.103 bilion (RM3.6 bilion) disimpan dalam bank Singapura itu dalam bentuk wang tunai, tetapi kemudiannya menjelaskan ia adalah dalam bentuk aset.

Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata , ia adalah "simpanan dalam bentuk unit".

[Baca berita penuh/asal]