Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 rentung dalam nahas di LPT2 T'ganu
Diterbitkan:  May 25, 2015 7:00 AM
Dikemaskini: May 25, 2015 3:14 PM

Empat orang, termasuk dua kanak-kanak, rentung manakala dua orang cedera, seorang daripadanya parah, selepas kereta dinaiki mereka terbakar akibat dirempuh sebuah lori kargo di kilometer 386.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Hulu Terengganu semalam.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Ahmad Razi Harun, 53, Dayang Suhana, 23, Umar Rayyan Suhaimi, 6, dan Nur Damia Irdiha Rosailan, berusia setahun, kesemuanya berada di dalam kereta ketika kemalangan berlaku kira-kira 4.30 petang.

Sementara itu, Hafshah Wangai, 56, yang mengalami cedera parah dan Sharifah Wangai, 49, cedera ringan, berada di luar kereta ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hussin Deraman berkata kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan dari Kota Baharu untuk menghadiri majlis konvokesyen Politeknik Muadzam Shah di Pahang.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah lori kargo 16 tan tanpa muatan yang dipandu Fazly Othman, 35, dari Kuala Terengganu menuju ke Johor Bahru terbabas sebelum merempuh kereta jenis Kia Spectra yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.

"Pemandu kereta menghentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana kereta itu mengalami kerosakan sebelum tidak lama kemudian dirempuh lori terbabit dan kedua-dua kenderaan terus terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Hussin berkata kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Mayat turut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Sementara itu Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu Mohd Zamri Omar berkata 10 anggota bomba dari Balai Bomba Hulu Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.

Katanya akibat kemalangan itu, lori berkenaan terbakar 70 peratus di bahagian hadapan manakala kereta berkenaan terbakar keseluruhannya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa kemalangan tragik itu meninggal dunia hari ini selepas koma hampir 24 jam. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Hussin Deraman berkata mangsa Hafshah Wangai, 56, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal kira-kira pukul 4.10 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Sejurus terlibat dalam kemalangan itu mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Hasil ujian air kencing ke atas pemandu yang berasal dari Johor itu mendapati negatif dari pengaruh dadah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS