Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Joshua Wong persona non grata di Malaysia
Diterbitkan:  May 26, 2015 8:32 PM
Dikemaskini: May 27, 2015 2:43 AM

Jabatan Imigresen Malaysia menghantar pulang remaja Hong Kong, Joshua Wong kerana namanya tersenari sebagai individu yang dilarang memasuki Malaysia.

Dalam kenyataan tiga perenggan jabatan itu malam ini, Wong - atau nama sebenarnya Wong Chi Fung - tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 11.50 pagi.

Jabatan Imigresen berkata, Wong tiba dari Hong Kong menaiki pesawat udara Dragon Air.

"Semasa pemeriksaan, pegawai bertugas mendapati beliau disenaraikan dalam golongan orang yang dilarang masuk ke negara ini.

"Pegawai imigresen telah melaksanakan proses pengurusan penolakan kemasukan warganegara asing mengikut tatacara operasi standard yang ditetapkan," kenyataan itu dipetik.

Wong, 18, adalah salah seorang remaja yang bertanggungjawab memimpin demonstrasi besar-besaran penduduk awam Hong Hong dalam protes digelar sebagai Revolusi Payung antara September hingga Disember tahun lalu.

Dia juga adalah pengasas kumpulan aktivis pelajar Hong Kong, Scholarism, yang menuntut supaya China tidak campur tangan dalam pilihan raya di pulau berkenaan.

Wong sepatutnya menghadiri beberapa acara yang diatur untuknya minggu ini dan Malaysiakini menjadi rakan media kepada program berkenaan.

Dia bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki negara ini oleh pihak berkuasa.

Jabatan Imigresen berkata, Wong dihantar pulang kembali ke Hong Kong menaiki penerbangan KA634 pada jam 12.50 tengah hari.

Lihat Komen
ADS