Najib sertai pertandingan golf M'sia-China
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bermain golf dengan ahli perniagaan dan usahawan pada Pertandingan Golf Persahabatan Malaysia-China ke-41 di IOI Palm Garden Golf Club di Putrajaya.
Beliau tiba pada 7.30 pagi sebelum melakukan pukulan tee pada 8.10 pagi.
Turut hadir Kaunselor Perdagangan Kedutaan China di Malaysia Wu Zhengping, dan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Perdasama bagi meraikan dan memperingati hubungan politik dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Dalam perutusan di dalam risalah mengenai pertandingan itu, Najib berkata kejohanan golf persahabatan itu yang diberi nama Trofi Cabaran Tun Abdul Razak dan majlis makan tengah hari perniagaan akan menjadi langkah kecil yang diambil dalam perjalanan jauh ini.
"Hubungan dua hala antara China dan Malaysia adalah sesuatu yang amat dekat di hati saya. Ini kerana ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil langkah berani 41 tahun lalu sebagai negara ASEAN yang pertama menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, banyak tahun sebelum berakhirnya apa yang popular dikenali sebagai Perang Dingin," katanya.
Selain itu, Najib berkata usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala perlu diteruskan dengan penuh semangat dan keazaman di kedua-dua pihak bagi memastikan hasil yang dihasratkan oleh kedua-dua negara dapat dicapai.
"(Langkah-langkah kecil antara) kerajaan dengan kerajaan, perniagaan ke perniagaan dan rakyat dengan rakyat boleh dipertingkatkan lagi.
"Sambutan tahunan ini juga turut menghidupkan semula sumbangan bersejarah pemimpin kedua-dua negara yang telah memungkinkan semua ini dan untuk kita terus berusaha membawa hubungan ini ke peringkat lebih tinggi," kata perdana menteri.
Sementara itu, Naib Presiden Perdasama Datuk Naim Mohamad, dalam satu kenyataan berkata sebanyak 120 peserta dari kedua-dua negara termasuk tetamu daripada sektor awam dan swasta mengambil bahagian dalam kejohanan ini.
Beliau berkata pertandingan golf persahabatan ini juga bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Bantuan Bencana Malaysia.
Kemudiannya, Perdana Menteri menerima sumbangan RM100,000, yang dikumpulkan daripada kejohanan itu, daripada Naim untuk Tabung Bantuan Bencana Malaysia.
Selain menyampaikan pingat kepada semua peserta kejohanan, Najib turut menyampaikan Trofi Cabaran Tun Abdul Razak kepada juara bertahan Malaysia, yang sekali lagi memenangi kejohanan.
Sementara itu, Perdasama mengumumkan perjanjiannya dengan SM International Wholesale Center (SMITC) untuk melancarkan Persatuan Bantuan Alumni China Malaysia.
-Bernama

