Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan biar Najib tenggelam dalam sampah'
Diterbitkan:  Jun 1, 2015 11:12 AM
Dikemaskini: 4:45 AM

Bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mencabar para anggota Kabinetnya untuk bersikap lebih agresif dengan melancarkan serangan balas pada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Para menteri berkenaan tidak boleh membiarkan Najib hanya disokong oleh golongan sampah, kata Zainuddin.

Golongan sampah itu ditakrifkannya sebagai “orang yang sudah hilang kewibawaan dan integriti” dan “menyeleweng dari parti asal atau dari parti yang sudah bengkrap”.

Malah, golongan tersebut juga bukan sahaja tidak terima oleh masyarakat umum tetapi juga dari kalangan Umno sendiri, katanya.

“Jika hanya sampah-sampah yang jelas menyokong maka akhirnya Najib akan tenggelam dalam timbunan sampah.

“Maka itu eloklah dari meletak jawatan yang akan memecahkan belahkan parti dan kerajaan maka seorang demi seorang menteri Kabinet muncul di TV3 menyerang balas Tun Dr Mahathir,” katanya.

Zainuddin berkata, beliau hanya melihat pengerusi Majlis Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Shahrir Samad dan presiden persatuan wakil rakyat BN, Abdul Aziz Abdul Rahman yang banyak menyerang balas Mahathir.

Hanya Hishammuddin sahut cabaran

"Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, timbalan presiden Umno Muhyiddin Yasin, naib presiden Umno (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Shafie Afadal sepatutnya mendahului Sharir Samad dalam berbuat demikian.

“Dengan itu tidaklah Najib berada dalam krisis keyakinan diri yang amat runcing,” kata bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu lagi.

Zainuddin menyatakan gesaan itu susulan cabaran Najib kepada para anggota Kabinet pada hari Jumaat lalu.

Najib dilaporkan meminta anggota jemaah menteri tersebut meletak jawatan jika tidak lagi menyokong beliau.

Najib dilaporkan berbuat demikian selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada kabinet.

Satu-satunya menteri yang menyambut cabaran itu setakat ini ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang memberikan persetujuan bersyarat.

Melalui Twitter, Hishammuddin berkata, agensi tajaan kerajaan itu mesti menjalani proses rasionalisasi dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas sebarang salah laku mesti diambil tindakan.

Hishammuddin berkata, proses rasionalisasi berkenaan mesti dilakukan secara telus.

Lihat Komen
ADS