Tindakan pantas orang ramai menyelamatkan seorang bayi yang ditinggalkan dalam kereta di hadapan sebuah bank di Seksyen 9 di Shah Alam tengah hari tadi.

Bayi yang tidak diketahui jantinanya itu ditinggalkan dalam kereta ibunya yang berkunci dan enjinnya dimatikan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias berkata orang ramai menyedari bayi itu ditinggalkan keseorangan dan mereka cuba mengesan ibu bapanya tetapi gagal.

"Kira-kira lima minit kemudian, orang ramai bertindak memecahkan cermin pintu belakang kereta itu untuk menyelamatkan bayi berkenaan yang sudah berpeluh.

"Ibu bayi itu tiba sebaik anaknya berjaya diselamatkan dan beliau mengakui terlupa menghidupkan enjin keretanya kerana mahu tergesa-gesa atas urusan penting," katanya.

Azisman mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat yang prihatin dan  menyelamatkan nyawa bayi itu.

Video tindakan pantas orang ramai menyelamatkan bayi berkenaan menjadi viral di laman Facebook dan mendapat pelbagai reaksi yang kebanyakannya mengecam tindakan ibu bayi berkenaan yang meninggalkan anaknya.

Mati lemas

 
Sementara itu di Johor Bahru, seorang lelaki ditemui mati lemas selepas menyelam untuk membersihkan bot di kawasan Rumah Rakit Tanjung Langsat semalam.
 
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Abd Samad Salleh berkata mayat Soo Keong Kwai, 50, ditemui pasukan penyelamat yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat pada 1.15 tengah hari tadi.
 
Beliau berkata Soo dari Mersing hilang selepas hampir dua jam tidak timbul selepas menyelam.
 
Mangsa ditemui dengan pakaian dan peralatan menyelam masih terlekat pada badannya.
 
Dua beradik maut
 
Sementara itu, dua beradik maut dalam nahas di Kilometer 156.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara di Ledang malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohd Salleh Abd Razak berkata mereka yang terbunuh ialah P. Rajoo, 30, dan adiknya P. Yogarajan, 25, sementara adik ipar Rajoo iaitu M. Ravivarman, 25, cedera parah.
 
Beliau berkata Rajoo dan Yogarajan tercampak keluar dari kereta mereka.
    
Mohd Salleh berkata kereta yang dipandu Rajoo dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok yang turut menyebabkan kereta itu remuk.
 
Ravivarman kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, katanya.
 
Mangsa dalam perjalanan pulang ke Pandamaran, Klang, Selangor selepas menghadiri majlis keramaian saudara mereka di Johor Bahru.
 
Kanak-kanak dilarikan

Di Kuala Terengganu, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lelaki yang dilarikan bapanya di Marang minggu lalu kini berada di luar negara.

 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata hasil maklumat yang diterima, pihaknya percaya kanak-kanak berusia tiga tahun itu berada di Brunei bersama bapanya.
 
Beliau berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu pengesahan Wisma Putra.
 
"Hasil siasatan awal kita percaya bapa dan anaknya telah berlepas dari Terengganu untuk ke Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei," katanya kepada pemberita hari ini.
 
Kanak-kanak itu dilapor dilarikan daripada ibunya Rabu lalu.

- Bernama