Presiden Amerika Syarikat Barack Obama terus mengelak mengulas berhubung pemenjaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya beliau tidak dapat mengulas isu tertentu secara khusus dan hanya menegaskan konsep umum berhubung demokrasi.

“Peraturan asasnya, saya tidak ulas bukan sahaja kes individu di negara ini, apatah lagi di negara lain kerana saya fikir ia penting supaya sistem perundangan dapat berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bersama pemimpin muda Asia Tenggara di Rumah Putih pada Isnin.

Obama mengulas soalan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin yang mahu tahu pandangan Obama berhubung pemenjaraan Anwar dan tindakan tegas pada pembangkang.

Presiden negara kuasa besar itu juga tidak menyebut nama Anwar secara khusus dan beliau malah kelihatan berhati-hati mengulas dengan menggunakan perkataan “jika”.

Obama berkata, jika seorang ketua pembangkang berdepan hukuman atas tuduhan jenayah, tidak harus wujud keadaan di mana kesahan prosesnya tidak harus dipertikaikan.

[Baca berita asal]