Pakatan Badan Bukan Kerajaan Pro Barisan Nasional (BN) bersama-sama Kelab Penyokong Pekember Sabah dan Kelab Aktivis Umno Malaysia membuat laporan polis semalam mengenai sebuah artikel yang didakwa berbaur fitnah yang diterbitkan dalam portal DAP, 'Roketkini'.

Presiden pakatan itu, Zulkarnain Mahdar berkata artikel yang disiarkan dalam portal pada 28 Mei lepas bertajuk 'Pegawai ESSCOM Sibuk Bertaruh RM1,000 Satu Lubang?' merupakan satu fitnah kepada agensi kerajaan itu.

Beliau berkata dakwaan itu tidak mempunyai asas dan bukti yang kukuh dan merupakan satu fitnah bagi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat di negeri ini.

"Harus diingat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) adalah agensi kerajaan manakala kakitangannya adalah penjawat awam. Sekiranya ada salah laku, kita ada satu tempat untuk mengadu mengenai perkara itu seperti Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga mencabar supaya Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong agar membuat laporan kepada SPRM bersama bukti seperti dakwaan dalam artikel berkenaan.

Zulkarnain berkata tuduhan terhadap ESSCom sebagai satu organisasi yang menerima rasuah adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan satu cubaan mengaitkannya dengan politik.

Dalam artikel berkenaan, Wong, yang juga pengerusi DAP sabah, dipetik sebagai berkata pegawai ESSCom dipercayai bukan saja tidak menjalankan tugas mengawal perairan negara, malah ponteng kerja dengan bermain golf, berjudi dan menjalankan operasi di rumah urut.

Menurut Zulkarnain, sebagai rakyat Sabah, Wong seharusnya memberi idea bagaimana mengekang kemasukan penceroboh ke negeri ini dengan memberi sokongan agar penghantaran aset-aset keselamatan ke  ESSCom dapat dipercepatkan.

- Bernama