Perwakilan S'gor mahu Pemuda bersama presiden
Perwakilan Selangor meminta supaya Dewan Pemuda PAS sentiasa bersama dengan presiden parti walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Dengan mengambil contoh isu kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong Datuk Seri Najib Razak untuk kekal sebagai perdana menteri, wakil Selangor Mohd Zuhdi Mat Piah berkata, perkara itu menyebabkan berlaku perselisihan faham antara ahli parti.
Justeru itu, Mohd Zuhdi meminta supaya Pemuda PAS menubuhkan sebuah badan penyelidikan bagi mengkaji kenyataan yang dikeluarkan oleh parti atau presiden bagi mengelak berlaku salah faham.
"Kita nak Dewan Pemuda bersama Presiden. Setiap tindakan yang dilakukan, Dewan Pemuda PAS dan presiden perlu bersama bukan berada di belakang tetapi bersama.
"Contohnya isu presiden menyokong Najib terus di tampuk kepimpinan dan perkara ini tidak difaham oleh ahli dan ia ditentang oleh ahli. Dan perkara ini nampak seperti tak sepakat dengan pimpinan di atas.
"Sebab itu kami mendesak supaya Dewan Pemuda PAS adakan satu pasukan penyelidikan bagi mengkaji apa sahaja yang keluar daripada PAS dan Presiden untuk difahami oleh ahli di bawah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucaptama ketua pemuda pada Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Shah Alam pagi ini.

