Perwakilan Wilayah Persekutuan Mohd Ridzuan Ariffin menyifatkan Pemuda PAS sebagai "pengecut" apabila tidak mempertahankan presiden parti daripada dihina dan difitnah daripada pihak luar terutamanya DAP.

"Di dalam siri serangan fitnah yang dibuat secara terbuka kepada presiden PAS oleh pemimpin DAP, Pemuda sendiri yang gagal membela presiden. Dia menyerang dan menghina presiden PAS.

"Pemuda diam bisu beribu bahasa. Ini bukan simbol anak soleh yang melihat bapanya dihina.

"Ini bukan sifat Pemuda beriman tetapi pengecut. Di dalam muktamar ini, Pemuda PAS ingin ingatkan dan memberi amaran bahawa Pemuda PAS Wilayah Persekutuan tidak akan sesekali membenarkan presiden kami dihina dan difitnah," katanya sambil mendapat laungan takbir oleh para perwakilan.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucaptama ketua pemuda pada Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Shah Alam pagi ini.

Sementara perwakilan dari Perlis, Azahari Osman mengecam pemimpin yang didakwanya menjadi "lidah syaitan" kepada parti.

Beliau berkata, pihaknya kecewa apabila terdapat segelintir ahli PAS yang berniat untuk menghuru-harakan parti dengan mengatakan bahawa wujudnya usaha PAS untuk bergabung dengan Umno.

"Di peringkat Pemuda saya agak kecewa ada sesetengah ahli PAS bahkan kepimpinan yang jadi lidah syaitan dalam jemaah kita.

"Majlis Syura telah tegaskan dalam semua program PAS sama ada dalaman atau luaran bahawa tiada usaha untuk PAS bergabung dengan Umno tetapi ada sesetengah yang masih percaya.

"Inilah golongan yang cuba timbulkan huru-hara dalam jemaah kita," katanya.