Perwakilan Pemuda PAS Perak, Mohd Syakirin Hussein berkata, parti Islam itu perlu berjuang melawan Umno kerana Allah.

Menurutnya, agama Islam tidak mengajar umatnya untuk melakukan sesuatu perkara kerana Umno semata-mata sebaliknya ia perlu dilakukan apabila diperintah oleh Allah.

"Islam tak ajar kita lawan kerana Umno tapi Islam ajar kita lawan kerana Allah. Apa yang kita buat sekarang kerana Allah, kita tidak akan lawan Umno kalau Allah tak suruh.

"Bukti kita lawan kerana Allah ialah kita tentang Umno sebab Allah suruh kita tentang Umno," katanya semasa membahaskan ucaptama ketua pemuda di Muktamar Pemuda di Shah Alam hari ini. 

Sebelum itu, Syakirin meminta semua perwakilan supaya tidak melakukan sesuatu perkara disebabkan untuk menentang Umno semata-mata.

"Jangan sesekali kita terlalu mudah berkata 'kita lawan kerana Umno, kita tentang kerana Umno, kita lawan Umno kerana (cukai barangan dan perkhidmatan) GST, kita lawan rasuah kerana Umno'," katanya lagi.

Selain itu, walaupun matlamat parti itu sebelum ini untuk menawan Putrajaya, namun perwakilan Perak itu mengingatkan supaya para perwakilan tidak sesekali melupakan matlamat perjuangan PAS untuk ke syurga.

"Kita sampai ke Putrajaya tetapi bukan matlamat perjuangan ini untuk sampai ke Putrajaya sahaja. Kalau sampai ke Putrajaya terlalu singkat. Perjuangan kita untuk sampai ke syurga Allah

"Apa gunanya Putrajaya kalau Putrajaya itu jauhkan kita dari syurga Allah," ujarnya lagi.