Awas punk antidadah Spooky Wet Dream
Ketika banyak kumpulan indie dikaitkan dengan gejala negatif, sebuah kumpulan punk alternatif tampil dengan dengan mesej murni antidadah.
Spooky Wet Dream (SWD) mahu mengetengahkan idea mereka tanpa menimbulkan perasaan takut oleh kumpulan sasar, terutamanya anak muda.
“Kalau kita cakap, jangan ambil dadah, kalau ambil dadah, siap kau. Mereka akan cakap (kembali), pergi matilah!” kata vokalis SWD, Zee, 21, kepada Malaysiakini.
Menurut Zee, golongan muda sekarang “berhati kering” dan tidak endah jika nasihat disampaikan tidak sesuai dengan jiwa.
Malah, katanya, jika dipaksa golongan berkenaan mungkin akan memberontak.
Selain Zee, SWD dianggotai oleh tiga lagi anak muda 20-an, kecuali seorang yang baru 18 tahun.
Beliau mendedahkan pernah terjebak dalam penagihan dadah dan kini sudah insaf selepas tersentak apabila menyedari terlalu muda untuk membiarkan hidupnya terbuang sia-sia.
Beliau juga aktif menyertai kempen antidadah di sekolah sekitar Malaysia bersama agensi antidadah negara.
SWD akan beraksi dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur Sabtu ini bersama kumpulan indie lain seperti Dum Dum Tak, Shh... Diam!, Ching it out dan Orfeus.

