Pelantikan pengerusi baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bukan sekadar formaliti.
Pelbagai isu perfileman menanti Datuk Seri Azalina Othman Said untuk diselesaikan.
Bagi pengarah filem dan ahli akademik terkenal Datuk Prof Abdul Razak Mohaideen, beliau berharap Azalina dapat membantu mengetengahkan filem tempatan ke persada dunia.
“FINAS perlu cari jalan bagaimana untuk membawa filem kita ke luar negara,” kata Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pengarah yang terkenal dengan filem komedi itu juga berkata perlu ada persefahaman dengan negara luar bagi membolehkan filem Malaysia dieksport.
Bagaimanapun, pelantikan Azalina disambut baik dan dianggap keputusan tepat.
“Datuk Seri Azalina mempunyai kredibiliti untuk menggalas jawatan itu kerana pengalamannya sebagai ahli politik dan banyak memegang jawatan dalam sesuatu organisasi.
“Berdasarkan pengalaman itulah, ahli parlimen Pengerang itu diyakini dapat mengawal perbadanan seterusnya mengeluarkan keputusan yang telus dan dapat menaikkan nama industri perfileman di Malaysia,” katanya.
Azalina menggantikan Datuk Md Afendi Hamdan yang memegang jawatan itu dari 1 September 2011 hingga 31 Januari lalu.
Azalina sebelum ini pernah dilantik sebagai menteri belia dan sukan pada tahun 2004 sebelum beralih menjadi menteri pelancongan dari 2008 hingga 2009.
