Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolej tarik balik rantai kunci bentuk 'salib'
Diterbitkan:  Jun 4, 2015 10:59 AM
Dikemaskini: 10:13 AM

Sebuah kolej di Perlis menarik balik pemberian rantai kunci kepada para pelajar barunya, yang didakwa berbentuk salib.

Kolej Matrikulasi Perlis menjelaskan, mereka bertindak demikian untuk mengelakkan isu berhubung pemberian tersebut berpanjangan.

Perkara itu dijelaskan oleh pengarah kolej tersebut, Nuzrin Nuiman dalam satu surat kepada Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

“Pihak kolej menerima aduan daripada seorang pelajar yang mendakwa terdapat lambang salib pada rantai kunci kolej.

“Sedangkan sebenarnya simbol seumpama lambang salib itu digunakan untuk dijadikan tapak untuk melekatkan plat logo Kolej Matrikulasi Perlis.

“Untuk mengelakkan isu ini berpanjangan, pihak kolej memaklumkan kepada pembekal untuk menarik balik dan menggantikan dengan rantai kunci yang baru,” surat itu dipetik.

Surat tersebut dikongsi oleh Mohd Asri di laman Facebook semalam.

Difahamkan, rantai kunci tersebut diedarkan bersama beg sandang dan kemeja-T kepada para pelajar baru sesi 2015/2016 dalam satu majlis pada 25 Mei lalu.

Gambar rantai kunci itu juga tersebar luas di kalangan pengguna media sosial semalam.

Ketakutan pada lambang salib sebelum ini mendorong sekumpulan penduduk dan pemimpin Umno berdemo di Petaling Jaya bagi memaksa sebuah gererja menurunkan lambang tersebut.

Demonstrasi pada 19 April itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang antara lainnya menuntut agar individu terbabit, termasuk adik kepada ketua polis negara, disiasat mengikut Akta Hasutan.

Polis bagaimanapun mendapati individu yang terlibat itu tidak melakukan perbuatan menghasut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS