Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM20 juta bagi membantu pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang  diberhentikan susulan penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak RM10 juta disediakan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan RM10 juta lagi di bawah Agro Bank.

"Ia mampu memanfaatkan kira-kira 1,000 (bekas) pekerja MAS yang berminat untuk menjalankan perniagaan selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan  peringkat negeri Kelantan di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata mereka boleh menceburi pelbagai jenis perniagaan di bawah industri asas tani seperti pembuatan kek serta biskut dan pihaknya juga menawarkan kursus jangka pendek.

Kementerian akan menjadi pemudahcara kepada pekerja MAS dan akan bekerjasama dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MASEU) untuk mengenal pasti mereka yang berminat.

"Kita akan bantu supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas mereka diberhentikan kerja," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan rancangan MAS menamatkan perkhidmatan 20,000 kakitangannya bermula 1 Jun lepas disusuli surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baharu Malaysian  Airlines Bhd (MAB).

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) berhubung pembayaran insentif kepada pesawah.

"Saya terima laporan yang mendakwa BERNAS tidak membayar beberapa jenis insentif dan subsidi kepada pesawah mengikut hasil yang dikeluarkan petani terbabit.

"Kita akan jumpa pengurusan BERNAS dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai masalah ini," katanya.

- Bernama