Polis menerima sebanyak 77 laporan daripada pelbagai pihak sehingga 11 malam kelmarin yang membantah penganjuran Festival of God's Power serta penyebaran trailer video penganjuran acara itu di laman sosial sejak dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad berkata meskipun penganjuran acara itu di Mersing dan Skudai telah dibatalkan, penganjuran itu tetap diteruskan di

sebuah hotel tempatan di Johor Baharu.

"Kita dan agensi-agensi lain akan terus memantau bagi memastikan perhimpunan itu tidak melebihi batas dan dibenarkan undang-undang.

"Kami turut memanggil pihak penaja sebanyak dua kali dan memberi nasihat agar ceramah dalam program itu tidak menyentuh hal sensitif," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Rusli turut berpesan agar rakyat negeri ini bertenang dan memberi sepenuh tanggungjawab kepada pihaknya dan agensi berkaitan.

Polis turut meminta kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab ke atas video yang dimuat naik ke laman sosial itu.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pesara-Pesara Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) Abdul Razak Ahmad berkata mereka terpanggil untuk membuat perhimpunan aman bagi memastikan kedudukan Sultan Johor terpelihara dan tidak tergugat sebagai ketua agama negeri.

"Kami berharap perhimpunan yang mampu mencetuskan provokasi di antara kaumini tidak diteruskan lagi pada masa akan datang. Tidak hanya di negeri ini, tetapi juga di seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui di hadapan Hotel Berjaya Waterfront semalam.

Beliau turut meminta supaya pihak berkuasa memantau program berkenaan dengan lebih ketat termasuk memastikan perhimpunan terkawal sehingga tamat.

Pada Selasa, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan sebagai bertitah memberi amaran kepada orang luar supaya tidak mengganggu keharmonian negeri Johor dengan menyentuh isu-isu agama.

Menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, baginda turut mengingatkan agar rakyat negeri ini tidak terlalu mudah terpengaruh dengan perkara sebegitu kerana ia adalah taktik sesetengah pihak untuk memecahbelahkan bangsa Johor.

- Bernama