Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan barisan pimpinan yang baru parti itu hanya dipelopori kumpulan pro ulama.

Sebaliknya, beliau berkata, selain individu berlatar belakang pendidikan agama jawatankuasa parti yang baru turut dianggotai oleh golongan profesional.

"Kalau dilihat kepada senarai mereka yang menang itu bukan sahaja terdiri daripada yang berpendidikan agama, ulama tetapi termasuk juga kalangan profesional, bekas pensyarah universiti," katanya pada sidang media selepas perbahasan ucaptama presiden pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Malah, Hadi turut memberikan beberapa nama yang dilihat sebagai golongan profesional yang memenangi pemilihan parti itu antaranya bekas pensyarah Dr Fadhli Hasan dan bekas pegawai kastam Razman Zakaria yang kini menjadi pesuruhjaya PAS Perak.

Hadi berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kemenangan majoriti kumpulan ulama akan memberi impak negatif kepada penyokong bukan Islam.

Dalam sidang media sama yang turut dihadiri Mohamad Sabu, Hadi sempat berseloroh dengan bekas timbalan presiden PAS itu apabila beliau mengatakan Mohamad atau Mat Sabu masih lagi hadir sidang muktamar walaupun kalah.

"Dalam parti pernah orang yang tak dipilih dalam parti tinggalkan majlis, ini tak tinggal majlis, ada dalam majlis lagi," kata Hadi sambil ketawa.

Sementara itu, berbeza dengan pandangan presiden parti, Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din berkata keputusan pemilihan parti yang baru menunjukkan akar umbi mahukan kepimpinan yang diterajui ulama.

Malah, beliau berkata, perselisihan yang berlaku antara golongan ulama dan profesional sebelum ini adalah disebabkan provokasi oleh media baru.

"Suasana muktamar dan keputusan yang dicapai jelas menunjukkan bahawa akar umbi pejuang PAS dari dulu sampai sekarang tak pernah lekang untuk bersetuju dengan kepimpinan ulama.

"Walaupun berlaku salah faham dan berlaku pertentangan ulama dan profesional, itu satu keadaan yang berlaku kerana provokasi dalam masyarakat dan media baru. Tapi akhirnya ulama memenangi sebahagian besar daripada yang dipertandingkan. Itu maknanya untuk ketika ini mereka mahukan ulama itu diperkukuhkan dan jadi peranan utama menerajui parti," katanya.

Selain itu, pemimpin agama itu juga berkata, walaupun kumpulan ulama menerajui kepimpinan yang baru, namun beliau berharap agar kumpulan profesional akan terus memberi sumbangan dan tidak menyisihkan diri.

"Bukan sisihkan profesional selamanya. Kita masih perlu sumbangan profesional yang kita rasa selama ini telah menyumbang dan beri kekuatan pada parti. Saya harap mereka terus beri sumbangan pada parti dan tak sisihkan diri," katanya lagi.