Akibat semangat 'Aki' berang, kata penduduk
Bencana alam di Ranau, Sabah pagi tadi didakwa berpunca daripada kemarahan Aki, semangat pelindung Gunung Kinabalu, akibat terdapat pelancong berkelakuan tidak senonoh.
Seorang pengguna Twitter yang enggan didedahkan identitinya berkata, kejadian pelancong berbogel dan kencing di tempat dianggap suci oleh penduduk menyebabkan semangat itu berang.
Manakala pengguna akaun @Zulfahmiabsalam berkata, kawannya di Sabah mendakwa Gunung Kinabalu marah kerana pelancong berbogel di kawasan itu tanpa segan-silu, lapor The Star Online.
Bagaimanapun, tidak semua pengguna menerima alasan itu.
Pengguna akaun @Zaxania berkata: “Sesiapa yang mengaitkan kedua-dua kejadian itu adalah seorang yang bodoh.”
Pengarah Taman-taman Sabah Datuk Jamili Nais dilapor berkata terdapat kejadian berbogel di kawasan itu membabitkan empat wanita dan enam lelaki.
Kejadian berlaku walaupun pemandu pelancong sudah memberi amaran.

