Sekurang-kurangnya seorang pendaki Gunung Kinabalu terbunuh dan dua lagi cedera akibat gegaran gempa bumi melanda Ranau pagi tadi.
Menurut seorang doktor Malaysia yang selamat tiba di kem tempat pendaki berkumpul, mangsa yang meninggal dunia itu ialah seorang wanita.
"Dua wanita lain yang ada bersama mangsa, cedera," katanya.
Laporan The Star Online memetik Dr Rezlan Abdul Rahman sebagai berkata, ketiga-tiga wanita terbabit berada di Laban Rata ketika beliau dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Kinabalu.
Kata Dr Rezlan, mangsa sedang berpegang pada tali apabila gegaran berlaku.
Tali itu kemudian terlucut dari batu di kawasan berkenaan.
"Nampaknya mereka terayun sebelum terhentak ke batu," katanya.
Laporan awal membayangkan sekurang-kurangnya lima maut atau cedera akibat bencana alam berkenaan.
Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Malaysia berkata, gempa bumi sekuat 5.9 magnitud itu berlaku kira-kira 16 kilometer di barat laut Ranau pada jam 7.17 pagi hari ini.
Bagaimanapun Pusat Kajian Geologi AS menyatakan gempa it sekuat 6 magnitud.
Gegaran turut dirasai di Kudat, Kota Marudu dan Beaufort.
