Semasa Angelina Jolie mewawancara aktor Harry Potter, Domhnall Gleeson untuk terbitan sebuah majalah, pemenang anugerah Oscar itu secara tidak langsung mendedahkan rahsianya - dia adalah peminat tegar filem Star Wars.

Menariknya, Jolie bukanlah pengagum wakat jelita Puteri Leia, sebaliknya pemburu upahan Boba Fett.

“Saya secara peribadi adalah peminat Boba Fett,” ujarnya kepada Gleeson.

Star Wars ditayangkan pada 1977 dan sejak itu penerbit menghasilkan enam siri filem fiksyen sains itu dan yang ketujuh dijadual mula ditayangkan Disember nanti.

Gleeson, 32, turut diberikan watak dalam filem terkini Star Wars: The Force Awakens itu.

Aktor berkenaan turut mempamerkan bakatnya dalam filem arahan Jolie, Unbroken pada tahun lalu.

Watak tidak asing

Di sebalik fakta yang dirahsiakan penerbitnya, agens media Inquisitr mendakwa The Force Awakens mempunyai kaitan secara langsung dengan trilogi Star Wars dan bukannya pembikinan semula plot filem berkenaan.

Apabila Jolie mendedahkan dia adalah peminat Star Wars , Gleeson mencadangkan pasangan hidup Brad Pitt itu menghubungi penerbit filem berkenaan.

"Saya yakin mereka tidak akan berfikir lama untuk membawa anda menjadi sebagian daripada pelakon Star Wars ," katanya.

Jolie kemudian bertanya: "Mungkinkah Boba Fett boleh beristeri?"

Media melaporkan, watak seperti Boba Fett sebenarnya bukanlah asing untuk aktres seperti Jolie.

Sebelum ini pun dia pernah membawa watak seperti itu melalui filem Tomb Rider dan Wanted.

Isi temu bual itu disiarkan media di AS semalam sempena ulang tahun ke-40 Jolie.