Penyokong PM: Profesionallah sikit Che Det
Tun Dr Mahathir Mohamad disambut bagai wira dalam acara yang menyaksikan kegagalan perdana menteri hadir hari ini, tetapi tidak semua orang selesa dengan tindakannya 'mencuri' pentas.
“Ini acara yang tumpukan pada PM, dan mengecewakan apabila dengar orang lain pula bercakap,” kata anggota NGO Generasi Muda Klang yang dikenali sebagai “Siti Hajar”.
Katanya, beliau dan hadirin lain hormat pada Mahathir sebagai bekas perdana menteri dan “dia juga harus hormat acara ini”.
Najib hari ini sepatutnya hadir dalam dialog terus terang bersama aktivis NGO dalam acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Polis pagi ini mengumumkan pembatalan program itu atas alasan keselamatan, sekali gus mengelakkan pertembungannya dengan Mahathir, pengkritik utama pentadbirannya.
Mahathir pula hadir penuh bergaya selepas dispekulasi meluas akan berbuat demikian semalam.
Beliau malah sempat berucap ringkas kepada orang ramai di atas pentas sebelum diminta berhenti oleh polis dan diiring supaya beredar.
Mohd Zahid Mahmud ( kanan ), yang datang daripada Terengganu pula berkata Mahathir tak seharusnya berucap dalam majlis itu kerana mempunyai banyak lagi peluang di tempat lain.
“Kena profesionallah,” katanya sambil berkata penganjur harus berhati-hati menganjurkan acara sebegitu.

