NS mahu PAS buktikan jiwa besar
Perwakilan Negeri Sembilan meminta semua pemimpin PAS berjiwa besar dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyerang rakan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Muhammad Faiz Fadzil Noor ( gambar ) berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PAS merupakan parti yang mampu memimpin Pakatan dan negara.
"Saya juga mohon tiada lagi kenyataan mana-mana pemimpin parti dalam PAS yang menyerang rakan dalam Pakatan . Kita perlu tunjukkan jiwa yang besar jika mahu memimpin Pakatan.
"Apabila kita mampu membuktikan kepada Pakatan, insya-Allah rakyat Malaysia akan memberi kepercayaan untuk kita memerintah negara ini," katanya ketika membahas ucaptama presiden parti di Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.
Selain itu, anak lelaki bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor itu turut menasihati parti berkenaan supaya tidak melupakan sokongan yang diberikan rakyat berbilang bangsa semasa pilihan raya umum yang lalu.
Katanya, sokongan berkenaan bukan hanya datang daripada pengundi Muslilm, sebaliknya turut membabitkan orang bukan Islam.
Dalam ucapan berkeana, Muhammad Faiz juga mengharapkan supaya barisan kepimpinan baru PAS dapat menyelesaikan konflik yang berlaku antara parti di dalam Pakatan.
"Perlunya kita jaga hati dan sokongan orang bukan Islam pada PAS. Jangan angkuh dan lupa sokongan 50 peratus rakyat pada kita.
"Di sini kita melihat kelemahan pengurusan konflik di antara ketiga parti dan kita PAS Negeri Sembilan memohon supaya segala isu yang berlaku dapat diselesaikan kepimpinan baru secara efisyen dan muafakat," katanya lagi.

