Polis tidak panggil Dr M untuk disiasat
Polis berpendapat, tidak ada keperluan untuk pihak berkuasa memanggil mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk disiasat buat masa ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Katanya, apabila pihak polis sudah membatalkan program berkenaan bermakna semua acara harus dihentikan.
“Apabila (program sudah) dibatalkan, maknanya dibatalkan (hentikan semua acara), bukan cuma batalkan (program) perdana menteri sahaja, (tapi) keseluruhan majlis itu dibatalkan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman petang ini.
Khalid berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan polis yang mengarahkan Dr Mahathir menghentikan ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur pagi ini.
Dr Mahathir yang tiba sejak jam 8.45 pagi tadi, dikatakan hadir “bukan atas jemputan” penganjur tetapi naik ke pentas bagi memberi ucapan selepas menunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selama lebih dua jam.
Ekoran Najib disahkan tidak hadir, pengacara majlis menukar program tersebut daripada sesi dialog bersama perdana menteri kepada bual bicara bersama Dr Mahathir.
Bagaimanapun, baru kira-kira lima minit Dr Mahathir berucap, pihak polis mengarahkan mantan perdana menteri itu untuk berhenti bercakap.
Khalid berkata, Mahathir di minta berhenti berucap ekoran program itu dibatalkan.

