PM: Keselamatan Sabah tiada kaitan dengan beli jet rasmi
Diterbitkan: Jun 9, 2015 1:16 PM | Dikemas kini: Jun 9, 2015 8:40 PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata tiada dana yang diperuntukkan untuk keselamatan Sabah telah dialihkan atau dikurangkan bagi membeli jet kerajaan.
Najib berkata demikian dalam rujukan khusus kepada Sabah yang sedang menghadapi ancaman yang semakin meningkat dari kumpulan pengganas yang melancarkan serangan dari selatan Filipina dengan tujuan untuk menculik dan menuntut wang tebusan.
"Keselamatan Sabah tiada kaitan dengan pembelian sebuah jet rasmi," kata Najib dalam catatan di blognya.
Menurutnya, tiada dana yang dimaksudkan untuk keselamatan Sabah telah dialihkan atau dikurangkan bagi membeli jet kerajaan.
Pada bulan Mac, naib presiden PKR Rafizi Ramli
mendakwa
kerajaan telah membayar RM465 juta bagi sewa beli selama 15 tahun untuk pesawat Airbus ACJ320 di tengah-tengah langkah penjimatan berikutan kejatuhan harga minyak global.
Selepas itu, Putrajaya mempertahankan pembelian tersebut dengan menegaskan bahawa ia bukan untuk kegunaan Najib sepenuhnya tetapi juga untuk VIP yang lain seperti Yang di-Pertuan Agong.
Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamd juga mempertikaikan pembelian jet tersebut memandangkan kawasan perairan di Sabah masih lagi terancam dengan kes penculikan dan pencerobohan.

