Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang mahir dalam mengawal persepsi awam.
Mahathir, katanya, adalah seorang ahli politik veteran dan mahir dalam persepsi awam.
Katanya, Mahathir memahami bahawa kenyataan politik tidak sepenuhnya mengenai kebenaran tetapi mengenai apa yang orang akan percaya.
Sebab itulah, dakwanya, Mahathir terus membuat sindiran, bercakap separuh benar, membuat jenaka yang mengelirukan dan memutarbelit kenyataan untuk membuat pandangannya menarik dan sedap.
Menulis dalam blog beliau malam tadi, perdana menteri berkata Mahathir akan terus mencampuri urusan pentadbiran negara walaupun sekiranya beliau berundur.
"Walaupun saya letak jawatan, Tun akan terus campur tangan dalam pentadbiran negara. Dia boleh kata yang dia hanya menjalankan hak demokrasi sebagai warganegara, tetapi itulah Tun Mahathir.
"Rakyat akan percaya apa yang dikatakan olehnya walaupun tidak tepat. Ia mempunyai kesan yang besar ke atas persepsi orang ramai kerana beliau bukan merupakan warganegara yang biasa.
"Banyak jasa-jasa Tun dan perkara yang hebat beliau lakukan sebagai perdana menteri tetapi dia tidak lagi menguruskan pentadbiran ini," katanya Najib lagi.
