Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hanyalah penaung kepada program pendidikan awal Projek Permata Negara (PERMATA)

Katanya, kuasa eksekutif ke atas dasar dan pengurusan PERMATA hanya diberikan kepada penjawat awam, katanya.

“Peranan penaung tidak meliputi urusan pentadbiran, kewangan, pengurusan dan lain-lain yang melibatkan peruntukan kuasa tertentu yang hanya diberikan kepada penjawat awam sahaja,” jawapan itu dipetik.

Dalam jawapannya kepada Nga Kor Ming (DAP-Taiping) itu, Shahidan turut memuji Rosmah yang menurutnya berjaya membolehkan program tersebut mendapat pengiktirafan.

Rosmah dilantik sebagai penaung PERMATA sejak 2007. Program tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM711 juta dalam belanjawan 2015.

Shahidan berkata, Rosmah dipilih sebagai penaung PERMATA berdasarkan kewibawaan dan pengaruhnya yang besar dalam pembangunan pendidikan awal.

Rosmah sebelum ini dianugerahkan ijazah kehormat dari Curtin University, Australia dan menjadi profesor kehormat di International Information Technology University, Kazakhstan atas sumbangannya dalam bidang itu.

Shahidan juga menjelaskan, PERMATA menerima dana berjumlah RM51,248,399 yang digunakan untuk operasi di 88 pusat.

Menjawab soalan Nga, Shahidan berkata, sebanyak RM4,037,500 juga digunakan untuk membina lima pusat baru, kata Shahidan yang juga MP Arau.

Dalam soalannya, Nga meminta kerajaan menjelaskan pencapaian dan kos yang ditanggung sejak penubuhan PERMATA dan juga peranan yang dimainkan oleh Rosmah.