Kate Moss bikin kecoh lagi
Kate Moss yang memang terkenal dengan perangai perasan diva dan panas barannya sekali lagi menjadi tajuk berita atas sebab yang tidak sepatutnya.
Semalam media melaporkan, Kate terpaksa diiringi keluar dari pesawat udara yang dinaiki sebaik saja model itu menamatkan perjalanan udara dari Bodrum, Turki ke London.
Ketika itu, lapor media, Kate sedang berada dalam kapal terbang Easy Jet.
Menurut laporan itu, Kate mula mencetuskan gangguan selepas kru kabin enggan menghidangkannya alcohol seperti yang diingininya.
Kate juga didakwa menghamburkan kata-kata kesat kepada juruterbang dalam keadaan mabuk.
Tiada tangkapan dibuat
Sebaik pesawat mendarat di London, pengurusan syarikat Easy Jet meminta bantuan polis London ekoran kekalutan yang ditimbulkan oleh Kate di dalam pesawat.
"Kami tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang kelakuan yang menyusahkan dan akan sentiasa melaporkan sebarang insiden kepada pihak berkuasa," kata jurucakap Easy Jet.
Sementara itu menurut polis, mereka dihubungi untuk mengiringi seorang penumpang dari pesawat yang baru tiba di Lapangan Terbang Luton.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang aduan mahupun tangkapan dibuat ke atas model itu.
Kate satu daripada wajah paling terkenal di dunia.
Popularitinya mula memuncak seawak usianya 14 tahun.
Sejak terkenal dia sudah menghiasi ratusan dada majalah dan pernah bekerja untuk pereka terkenal seperti Louis Vuitton dan Stella McCartney.
Dia pernah menjadi pasangan hidup Johhny Depp dan Pete Doherty.

