'Sabarlah, jangan gopoh ulas isu dengan DAP'
Ketika ketegangan hubungan antara PAS dan DAP, pemimpin kanan parti Islam itu kini meminta semua pihak bersabar dan tidak gopoh.
"PAS meminta supaya semua pihak bersabar dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengeruh suasana dan memanaskan iklim politik di negara ini," naib presiden baru PAS Idris Ahmad dipetik sebagai berkata.
Ahli parlimen Bukit Gantang itu juga berkata gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya semua penjawat lantikan politik PAS meletakkan jawatan akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Biarlah pimpinan PAS yang mengendalikan isu ini dengan baik," ujarnya lagi, seperti dilaporkan Harakahdaily.
Idris juga berkata kenyataan itu dikeluarkan kerana ia memberi kesan politik jangka panjang dan persepsi buruk terhadap DAP dalam kalangan orang-orang Melayu.
Jelas beliau, selama ini PAS cuba membetulkan persepsi buruk bahawa DAP bukan parti yang anti-Melayu dan anti-Islam, walau pun PAS dipandang buruk oleh orang-orang Melayu terutama di luar bandar.
"Tetapi atas semangat setiakawan dalam tahaluf (kerjasama politik), PAS tetap pertahankan," ujarnya lagi.

